Showing posts with label Sri Dharmaraja (Ligor). Show all posts
Showing posts with label Sri Dharmaraja (Ligor). Show all posts

Tuesday, 4 October 2011

Sri Dharmaraja Chandrabhanu

Chandrabhanu yang bermaksud Cahaya Bulan. Baginda merupakan raja negeri Tamralingga. Negeri Tamralingga sekarang ini dikenali sebagai Nakhorn Sri Thammarat atau Negara Sri Dharmaraja dan dalam teks-teks hikayat Melayu dikenali sebagai Ligor. Baginda digelar sebagai Sri Dharmaraja yang bermaksud' Raja yang Adil'. Ketika itu, baginda memerintah di bawah pengaruh kekuasaan Maharaja Srivijaya yang berpusat di Palembang. Nama keluarga Chandrabhanu ialah Pathamawong (Padmawangsa).


Sekitar tahun 1247M, baginda menyerang Pulau Langka (Sri Lanka) untuk mendapat sebuah patung Buddha zamrud yang dikenali Phra Sihing. Patung ini dipercayai boleh membawa kemakmuran kepada negeri mereka. 


Buddha Rupa Pra Sihing di Wat Sambhu Jaya, Narathiwat


Pada waktu itu, Pulau Langka diperintah oleh raja Parakramabahu II yang baru saja ditabalkan menjadi raja. Chandrabhanu merupakan penakluk pertama yang datang dari negara yang terletak di tenggara dan baginda datang dari utara semenanjung Tanah Melayu. 

Chandrabhanu dikatakan mendarat di selatan Pulau Langka, manakala setengah riwayat lain pula menceritakan baginda mendarat di barat laut pulau tersebut. Mereka mendapat rampasan perang yang banyak akan tetapi raja Chandrabhanu tidak membenarkan penganut Buddha di Sri Lanka diapa-apakan. Baginda melarang biara-biara Buddha daripada dimusnahkan atau dirosakkan. Sebaliknya baginda memperbaiki biara-biara yang rosak dan melakukan penyembahan di dalamnya. 

Terdapat juga teori yang menyatakan bahawa asal-usul baginda dilahirkan di tempat bernama Vathuwaviyan di Semenanjung Tanah Melayu. Teori ini didapati dari batu-batu bersurat kuno yang dibaca dan diterjemahkan oleh Sede pada tahun 1981. Batu bersurat ini dibaca semula oleh Sede pada tahun 1987. Beliau membuat kesimpulan bahawa baginda berasal dari Tanah Melayu dan menjadi raja di kawasan yang dikenali sebagai Tamralingam. Beliau juga menambah bahawa raja ini mempunyai pertalian dengan pulau Sumatera.

Sejak zaman dahulu kala lagi, Sri Lanka mempunyai hubungan keagamaan dengan negeri di selatan Thai dan utara semenanjung Tanah Melayu. Sami buddha Sri Lanka mengembara merentasi Siam, Kemboja, dan Burma. Terdapat juga bukti sejarah menunjukkan mereka juga mengembara di semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, dan Pulau Jawa.

Menurut hikayat-hikayat Siam, Raja Chandrabhanu merupakan kawan baik kepada raja kerajaan Sukhothai iaitu Po Khun Ramkhamhaeng. Mereka turut menghantar duta ke Pulau Langka bagi mendapatkan Buddha rupa Pra Sihing. Dipercayai Buddha rupa tersebut masih disimpan di sebuah Wat di Siam. Juga disebut mengenai Raja Parakramabahu II turut mengantar duta ke negeri Tamralingga (Ligor). Raja Parakramabahu II memohon supaya negeri Tamralingga (Ligor) menghantar seorang sami yang berpengetahuan dari situ.

Menurut sumber-sumber rujukan juga, Raja Chandrabhanu merupakan raja yang mengambil berat akan hal-hal keagamaan dan mengekalkan hubungan keagamaan dengan Sri Lanka. Namun sebab baginda menyerang Pulau Langka tidaklah diketahui sedangkan hubungan baginda dengan Sri Lanka adalah baik terutamanya dalam hubungan keagamaan. 

Raja Chandrabhanu tiba di Sri Lanka untuk membantu kerajaan Magha  (semenanjung Jaffna)  bagi menghadapi serangan Raja Parakramabahu II. Raja Chandrabhanu telah menakluki kawasan yang berada di bawah kekuasaan Raja Parakramabahu II. Keadaan ini menyebabkan tentera Singhala beralih dari utara ke kawasan yang ditakluki oleh Raja Chandrabhanu. Raja Magha juga mendapat peluang untuk memperbaik barisan tenteranya dan berehat sebentar selepas diserang oleh Raja Parakramabahu II. Dari sini, ramai sejarawan berpendapat bahawa Raja Magha dan Raja Chandrabhanu merupakan rakan sebangsa dan mereka saling melindungi antara satu sama yang lain. Pengaruh orang Melayu mula merebak dengan cepat di kawasan pantai Sri Lanka terutamanya di barat laut dan selatan Pulau Sri Lanka. Kekuasaan Raja Parakramabahu II semakin terancam. Maka baginda menguatkan barisan tenteranya dan mengaturkan sebaik-baiknya strategi peperangan. Tentera Singhala juga mempunyai pahlawan yang hebat iaitu Putera Virabahu. Putera Virabahu merupakan anak saudara kepada Raja Parakramabahu II dan baginda mempunyai bakat dalam seni pertahanan diri dan peperangan. Bagindalah yang melatih tentera-tentera Singhala. Pada saat yang baik dan jam yang bertuah menurut perkiraan kitab nujum, mereka melancarkan peperangan semula terhadap orang Melayu.

Mereka mula menyembelih penduduk dalam kota Raja Chandrabhanu serta menyerang tentera Chandrabhanu. Tentera Melayu juga memberikan tentangan yang sengit dan memanah panah beracun yang berbahaya. Hal ini tidak mematahkan semangat tentera Singhala dan mereka terus berjuang sehingga berjaya menghalau orang Melayu keluar dari Pulau Sri Langka. 

Oleh Halaliye Karunathilake
The Sunday Times (Akhbar Inggeris Sri Lanka)
Mei 18, 2008 Bil. 42 - No 51
Diedit dan diterjemah oleh Niluka De Silva

12 Wilayah Sri Dharmaraja



Stupa yang dibina oleh Chandrabhanu Sri Dharmaraja
Senibinanya adalah asli Melayu Segenting Kra.
Stupa inilah yang diletakkan dalam 'seal' Nakhon Si Thammarat.

Riwayat Nagara Sri Dharmaraja dan Riwayat Phra Dhatu Nakorn telah menunjukkan 12 wilayah Sri Dharmaraja lama,di mana ini dijumpai pada sebuah kuil Buddha purba di Chaiya dalam wilayah Suratthani sekarang. Digelar sebagai 'kota Naksat' dalam bahasa Thai merujuk kepada simbol-simbol dalam Naksat Pi, kalendar purba yang digunakan oleh orang Kedah Tua/Langkasuka pada masa silam untuk meramal musim penanaman padi.

๑. เมืองสายบุรี ปีชวด ถือ ตราหนู

๒. เมืองปัตตานี ปีฉลู ถือ ตราวัว

๓. เมืองกะลันตัน ปีขาล ถือ ตราเสือ

๔. เมืองปะหัง ปีเถาะ ถือ ตรากระต่าย

๕. เมืองไทรบุรี ปีมะโรง ถือ ตรางูใหญ่

๖. เมืองพัทลุง ปีมะเส็ง ถือ ตรางูเล็ก

๗. เมืองตรัง ปีมะเมีย ถือ ตราม้า

๘. เมืองชุมพร ปีมะแม ถือ ตราแพะ

๙. เมืองไชย (เมืองบันไทยสมอ) ปีวอก ถือ ตราลิง

๑๐. เมืองท่าทอง (เมืองสะอุเลา) ปีระกา ถือ ตราไก่

๑๑. เมืองตะกั่วป่า – ถลาง ปีจอ ถือ ตราสุนัข

๑๒.เมืองกระบุรี ปีกุน ถือ ตราสุกร



Maksudnya:

1. Negeri Saiburi (Narathiwat) membawa lambang Chut (Tikus)
2. Negeri Patani membawa lambang Chelu (Lembu)
3. Negeri Kelantan membawa lambang Khan (Harimau)
4. Negeri Pahang membawa lambang Thauh (Arnab)
5. Negeri Sraiburi (Kedah) membawa lambang Merong (Ular Besar/Naga)
6. Negeri Phattalung (Bedelong) membawa lambang Mahleng (Ular Kecil)
7. Negeri Trang membawa lambang Mahmia (Kuda)
8. Negeri Chumpon membawa lambang Mameh (Kambing)
9. Negeri Jaya (Krabi) membawa lambang Wouk (Beruk)
10.Negeri Thaa Thong (Kanchanadit) membawa lambang tahun Raka (Ayam)
11.Negeri Takuapa-Thalang (Phuket) membawa lambang Cho (Anjing)
12.Negeri Kraburi membawa lambang Kun (Kura-kura)


Ini bermakna pada masa silam wilayah Sri Dharmaraja adalah sejauh Ayutthaya hingga ke Pahang. Sebab itu di dalam Sulalatus Salatin, tersebut kisah raja Pahang Purba bernama Maharaja Dewasura yang ditawan oleh Seri Bija Diraja, ketika Melaka menyerang Pahang. Maharaja Dewa Sura ini adalah berketurunan Melayu Segenting Kra (Syam Kut).

Ketika itu, Melaka yang semakin meluaskan empayarnya merampas Pahang daripada Sri Dharmaraja yang telah menjadi naungan Ayutthaya. Ini menyebabkan Ayutthaya semakin 'panas' dengan tindak-tanduk Melaka yang semakin berani.

Penubuhan Ayutthaya


Ayodhya adalah salah satu wilayah Sri Dharmaraja. Kehadiran U-Thong,seorang raja peranakan Cina-Thai telah merebut wilayah ini dari Sri Dharmaraja. Lama kelamaan kuasa dinasti raja ini semakin kuat dan akhirnya berhasil menyerap Sri Dharmaraja ke dalam Ayutthaya (Ayodhya Baru).Pada masa yang sama, kerabat Sri Dharmaraja memasuki istana Ayutthaya melalui hubungan persaudaraan apabila raja-raja Ayutthaya mengambil kerabat diraja Sri Dharmaraja sebagai anak-anak angkat.Sebab itu dalam sejarah Ayutthaya, dinasti Ayutthaya yang bercampur darah dengan kerabat Sri Dharmaraja tidak menyenangi dinasti Sukhotai. Sukhotai pernah menyerang Sri Dharmaraja sebelum itu. Dengan penubuhan Ayutthaya, Sri Dharmaraja telah berhasil menundukkan Sukhotai menjadi negeri bawahan Ayutthaya.Namun begitu Sukhotai tetap memainkan peranan dalam sejarah Ayutthaya,sehinggakan bangsawan mereka ada yang menjadi raja Ayutthaya. Ketika itu terdapat 4 kerabat atau kelompok di Ayutthaya yang punya pengaruh besar dalam politik Ayutthaya:

1.Supannabhum (kemungkinan orang Mon)
2.Uthong, (peranakan Cina-Thai)
3.Sukhothai, (Thai)
4.Sri Thammarat (Melayu)

Pada era Ayutthayalah,budaya Melayu Segenting Kra dan kerabat Kemboja ('Khmer' menurut sarjana/nasionalis Khmer) telah mempengaruhi segala aspek kehidupan orang Thai dengan lebih menyeluruh sehinggakan mereka juga digelar sebagai 'Siam'. Asimilasi Thai yang dahulunya memegang identiti kaum-kaum Monggol Selatan ketika era Dinasti Yuan berubah dengan drastiknya menjadi kaum yang berbudayakan Khmer dan Melayu Segenting Kra namun berbahasa Kradai.Thai-Siam ini berlainan dengan Thai Utara yang disebut Lanna dan kebudayaan Lanna. Juga keseniannya berlainan dengan Tai Yuan iaitu Sukhotai (Thai Yuan,dengan 'Yuan' adalah nama dinasti Monggol yang memerintah China, nenek moyang orang Thai berasal dari pergunungan Altai ,dari salah satu suku Monggolia),Thai Ayutthaya ini telah berjaya mendapatkan identiti mereka sendiri hasil cedukan yang teruk dari bangsa Melayu Segenting Kra dan Khmer.Ketika inilah,kaum wanita Thai,mula memakai kain sarong,atau sampot dan para wanita bangsawan pula memakai kain sarong dengan gaya berkemban, pakaian wanita Sriwichai (Sriwijaya) pada masa silam. Hiasan kepala pula (headgear) diubahsuai dari mahkota-mahkota raja-raja Kemboja (Khmer). Senibina dicedok 100% dari Kemboja dan Segenting Kra,terutama ketika raja Ayutthaya menawan Angkor, beribu-ribu artisan, penari dan tukang-tukang Kemboja dibawa ke kota Ayutthaya untuk membangunkan tamadun Thai. Tarian pula banyak meniru tarian Mon dan Melayu.Ukiran meniru ukiran kuil-kuil Angkor namun senibina Ayutthaya menggunakan bata (bricks) manakala kuil-kuil Angkor dibina dengan cara memotong batu-batu gunung (stone).Cara ini mewarisi kejuruteraan Sailendra dan Sriwijaya.Contohnya Borobudur dan candi-candi di Jawa yang menggunakan batu (stone) bukannya (bricks).Teknologi bata (bricks) biasa digunakan oleh kerajaan Kedah Tua. Di Lembah Bujang,dijumpai rumah-rumah membakar bata-bata merah.

Raja-raja Sri Dharmaraja sejak dari era Raja U-Thong, menghadapi kuasa baru Ayutthaya yang terbina dari bekas wilayahnya sendiri. Sri Dharmaraja masih di bawah bayangan Ayutthaya. Apabila raja Patani, juga masih saudara dengan kerabat Sri Dharmaraja memeluk Islam, raja Sri Dharmaraja mula memusuhi Raja Patani dan sebaliknya semakin rapat dengan Ayutthaya yang seagama (Buddha). Namun begitu, Ayutthaya masih menyimpan hasrat untuk memiliki Sri Dharmaraja yang mempunyai rangkaian perdagangan maritim dan pengaruhnya yang besar ke atas negeri-negeri Melayu. Suatu ketika ,raja Sri Dharmaraja yang terakhir bernama Sri Raja berjaya ditangkap oleh Chakrapat, raja Ayutthaya.Semasa di dalam tahanan Ayutthaya, Sri Raja merasa hidupnya tidak terlalu lama lalu menyampaikan pesanan penting kepada Raja Ayutthaya,Chakrapat:

"Bana Sri Dharmasokaraja memohon untuk mempersembahkan 3 laki-laki, 3 perempuan, dan 100 laki-laki dalam rombongan daripada tiga lelaki dan tiga wanita. Dia meminta bahawa raja menerima anak-anak dan cucu iaitu sebanyak 3 laki-laki dan 3 perempuan sebagai wakil untuk mengutip cukai, dan dia berjanji bahawa tiga lelaki dan tiga wanita itu akan berkhidmat untuknya selepas peninggalannya"


(Riwayat Sri Dharmaraja)

Petikan seterusnya dari riwayat itu menyebutkan:

"Nay U adalah adik dari Bana Sri Dharmasokaraja; isterinya Nan Keo. Nay Ku dan Nay U adalah anak saudara dan cucu dari Sri Bana Dharmasokaraja.Isteri Nay Ku bernama Nan Cam, dan bahkan isteri U bernama Nan Gambejra."


Jelas di sini, anak cucu Sri Raja mempunyai pangkal nama Nay. Isteri-isteri mereka berpangkal nama Nan (Nang). Inilah asal-usul keturunan 'Nai' iaitu kerabat Sri Dharmaraja, Melayu Segenting Kra. Dengan penerimaan wasiat Sri Raja, Chakrapat (raja Ayutthaya) akan memiliki warisan perdagangan maritim dan ufti dari negeri-negeri Melayu.

"Ketika Bana Sri Dharmasokaraja meninggal dunia, raja (Chakrapat,raja Ayutthaya) telah memiliki Nay U, Nay Ku, dan bahkan Yu datang untuk memberikan penghormatan kepadanya, dan meminta daripada mereka perak dan emas untuk disimpan ke simpanan kerajaan"


(Riwayat Negeri-negeri era Pertengahan)

Ketiga-tiganya (Nay U,Nay Ku dan Nay Yu) adalah anak cucu raja Sri Raja,iaitu raja Sri Dharmaraja terakhir sebelum negerinya diserap ke dalam Ayutthaya. Raja Sri Raja telah berwasiat kepada Raja Chakrapat, supaya mengambil anak dan cucunya sebagai anak angkat setelah sepeninggalannya. Raja Ayutthaya itu mendengar dengan penuh teliti dan berjanji. Selepas pemergian Sri Raja, Raja Chakrapat menunaikan janjinya lalu mengambil ketiga-tiga Nay itu sebagai anak angkat raja Ayutthaya dan menaikkan Prah Sodhanaraja, anak kepada Sri Raja sebagai anaknya sendiri. Anak cucu raja Sri Dharmaraja itu kemudiannya telah dilantik semula sebagai penguasa di Ligor,iaitu Sri Dharmaraja yang baru. Keturunan mereka itulah yang digelar sebagai 'Nai' sehingga kini.Gelaran Nay/Nai ini juga mempengaruhi sistem penggelaran bangsawan Thailand pada hari ini. Begitu juga gelaran 'Nang' (rekod Khmer menyebutkan 'Nan') iaitu gelaran bagi wanita seperti nama 'Nang Che Yam' adalah berasal dari kerabat diraja Ligor/Sri Dharmaraja.Sebenarnya 'Nai' ini cuma gelaran keturunan sebagaimana Tengku,Wan atau Nik.

Apabila menjadi penguasa Ligor,keturunan Nay ini dibenarkan mengutip cukai ke atas 12 negeri di bawah Sri Dharmaraja lama.Ini yang dimaksudkan dengan "meminta daripada mereka perak dan emas untuk disimpan ke simpanan kerajaan".

Chandrabhanu

Chandrabhanu Sri Dharmaraja,adalah seorang raja yang memerintah Tambralingga,sebuah negarakota Melayu (Malay city-states) di utara semenanjung Tanah Melayu, tepatnya di kawasan yang dikenali sebagai Segenting Kra,satu jalur daratan yang menghubung semenanjung Malaysia dengan Indochina.

Beliau memerintah pada tahun 1230 hingga 1270 Masehi.

Nama raja ini terkenal di kalangan sejarahwan Thai disebabkan penemuan inskripsi di Wat Hua Wiang di Chaiya. Di dalam batu bersurat no.2, dimuatkan puji-pujian bagi Phra Adhiraja Phra Ong, iaitu gelaran putera mahkota Sriwijaya di mana ia disebutkan sebagai: 

"baginda maharaja mempunyai kesegakan lagi menawan. Bangsawan seperti sinar mentari dan bulan laksananya"

Anehnya gelaran ini untuk putera mahkota, di mana gelaran untuk 'maharaja' adalah Phra Chao Khrung Srivijaya,atau setidak-tidaknya dipahat nama Phra Chao Chandrabhanu Dharmaraja. Ini menunjukkan, pengaruh raja yang lebih tinggi dari Chandrabhanu, dalam kes ini, seorang raja besar dari keturunan yang sama, sudah pasti raja-raja dinasti Sriwijayamala. Pada batu bersurat ke-23 pula, ada dinyatakan bahawa pengganti maharaja itu datang dari raja keturunan 'Sailendra'. Pada batu bersurat ke-24 pula dinyatakan Chandrabhanu adalah dari dinasti Padmavamsa atau Pathamawong (dinasti Teratai).

Dalam batu bersurat itu seterusnya menceritakan kekuasaan Sriwijaya (Sriweechai) yang mengandungi 15 wilayah jajahan dengan beratus-ratus pos kawalan dan ketua-ketua pemerintah tempatan yang membuat hubungan dengan Sriwijaya dan berkerjasama antara satu sama lain. Sriwijaya juga mempunyai jaringan perdagangan yang luas. Apa yang menariknya, di dalam riwayat Sri Dharmaraja ini ada menyebutkan sistem pemerintahan Sriwijaya yang berkonsepkan 'maharaja pelindung' dan jawatan maharaja ini diperintah bersama merangkumi hal-hal politik dan pengurusan jaringan perdagangan maritim. 15 kota-kota yang terdiri dari kuasa-kuasa laut dan pelabuhan-pelabuhan utama dalam kesatuan Empayar Sriwijaya mempunyai peluang untuk menggantikan kuasa kerajaan pusat dan menguasai empayar (ini adalah sama dengan konsep 'Yang Dipertuan Agong' yang diamalkan Malaysia pada hari ini).

Namun setelah beberapa lama, Tambralingga mula membebaskan diri dari Sriwijaya. Raja-rajanya mula membina kubu-kubu dari batu-bata untuk menahan serangan laut Sriwijaya. Setelah aman sedikit dari gangguan Sriwijaya, raja Tambralingga pun meluaskan penguasaan wilayahnya sendiri dan menamakan kerajaannya sebagai 'Sri Dharmaraja'. Raja Sri Dharmaraja mula melebarkan pengaruhnya hingga keseluruhan Tanah Melayu sampai ke Temasek (Singapura).Di sini, raja melantik seorang wakil pemerintah bernama Temagi,untuk mentadbir Temasek. Ketika ini Sriwijaya sudah berpecah, namun kerajaan pusatnya masih berkuasa di Sumatera,khususnya sekitar Palembang dan Jambi.

Nagara Sri Dharmaraja menjadi dominan dan makmur, dan ketika inilah raja membina monumen yang terkenal iaitu Phra Borom Dhatu dan Wat Mahathat yang mengandungi stupa besar gunanya untuk menyimpan 'gigi Buddha',yang kononnya berada di Sri Lanka.

Keinginan raja Chandrabhanu untuk memiliki 'gigi Buddha' itu membuatkan beliau menghantar tentera lautnya menyerang Sri Lanka pada tahun 1247 Masehi.

Riwayat-riwayat Pali menceritakan ketika Kerajaan Jaffna memerintah, seorang raja 'Javaka' telah melakukan serangan ke atas Sri Lanka.Di dalam Mahavamsa,iaitu Riwayat Sri Lanka ada menyebutkan:

"Kemudian menjelangnya tahun ke-11,setelah penobatan Raja Parakramabahu...(pada tahun 1247 Masehi) sesuatu yang tidak terduga terjadi.Seorang raja Javaka menyerang Sri Lanka.Dia adalah penjajah pertama yang datang dari negara belah tenggara. Dia datang dari bahagian utara (semenanjung Tanah Melayu)"

"Pada masa itu, daerah ini dikenali sebagai 'Tambralinggadesa' dan ia dikenali sebagai sebuah negeri beragama Buddha.Raja penjajah ini juga merupakan penganut Buddha, bernama Chandrabhanu.Ia mendarat di pantai selatan Sri Lanka. Ada lagi rujukan untuk pendaratan ,yang mengatakan ia mendarat di pantai utara-barat. Namun,ia dan orang-orangnya bukanlah selepas Magha"

"Mereka juga mulai menjarah milik orang tidak berdosa.Tapi raja Javaka ini cuba untuk memenangi hati para Buddha,entah bagaimana"

"Jadi dia tidak pernah menghancurkan tempat-tempat ibadah Buddha. Sebaliknya,ia diperbaiki mereka dan membayar penghormatan juga"

Ada teori lain tentang asal-usul raja Javaka,Chandrabhanu ini. Mengikut Mahavamsa,tempat kelahirannya adalah 'Vathuwaviyan' di Semenanjung Tanah Melayu. Teori ini muncul melalui inskripsi yang ditemui di sana. Sarjana selatan Thai berpendapat bahawa nama ini berasal dari kata Melayu,'Batu Wangian' dimana tempat suci para kerabat Padmawangsa (kerabat bunga Teratai) dilahirkan.


Kata 'Javaka' berasal dari nama empayar purba Melayu,'Jawaka' yang dikenali sebagai 'Savak' dalam loghat Pali dan 'Zabak/Zabag' oleh para pedagang Arab.

Sampai disini,sudah ada bukti untuk menunjukkan bahawa beliau berasal dari generasi Raja SriVijaya. Namun,dari zaman kuno,Sri Lanka telah pun memelihara hubungan agama dengan negeri-negeri Melayu sekian lama sejak zaman Gupta dan Asoka.

Di masa lalu,sami-sami Buddha Sri Lanka telah melakukan perjalanan ke Siam, Kemboja dan Burma. Ada bukti sejarah untuk menunjukkan bahawa mereka pergi ke pulau Jawa dan Sumatera serta Semenanjung Tanah Melayu.

Armada laut Chandrabhanu telah melancarkan serangan ke bahagian selatan pulau Sri Lanka,tetapi dikalahkan oleh raja Sri Lanka. Namun Chandrabhanu mampu mendirikan kerajaan bebas di bahagian utara pulau itu, sehingga namanya termasuk dalam daftar raja-raja Kerajaan Jaffna yang memerintah Sri Lanka. Tetapi pada tahun 1258 ia diserang dan ditundukkan oleh Pandya. Pada 1262 Chandrabhanu melancarkan serangan di selatan pulau itu, pasukannya kali ini diperkuatkan dengan penambahan pasukan Tamil dan Sinhala, namun sekali lagi dikalahkan kerajaan Pandya (kerajaan ini juga yang menewaskan kerajaan Chola) ketika Pandya bergabung dengan tentera Sri Lanka dan Chandrabhanu sendiri terbunuh dalam pertempuran itu. Walau bagaimanapun,anak Chandrabhanu masih mampu mempertahankan kawalan ke atas kerajaan utara, walaupun tunduk kepada Pandya dan memerintah sehingga akhir abad ke-14.

Serangan Chandrabhanu ke atas Sri Lanka itu membuktikan terdapatnya kekuatan dari Asia Tenggara yang mampu menghantar serangan malah membina kerajaan di luar kawasan Asia Tenggara. Namun penguasaan dinasti-dinasti Melayu di Sri Lanka sebenarnya berlangsung lebih lama,tepatnya ketika era keemasan Sriwijaya. Penemuan candi purba di Kantarodai menyaksikan senibina menyerupai elemen-elemen Borobudur. Anehnya,pakar arkeologi Sri Lanka mendakwa pengaruh ini adalah datang dari luar ke Sri Lanka.Ini kerana gaya senibina candi Kantarodai tidak dijumpai di mana-mana di Sri Lanka malah di tanah besar India.Usia tapak arkeologi si Kantarodai adalah seawal abad ke-2 Sebelum Masehi!Pakar-pakar sejarah Sri Lanka agak bingung memikirkan dari mana senibina stupa bulat ini tiba,akhirnya mereka berpegang kepada Teori Borobudur setakat ini bagi memecahkan kebuntuan. Senibina Borobudur benar-benar senibina unik dinasti Melayu Sailendra. 

Sri Dharmaraja

Sri Dharmaraja adalah nama sebuah kerajaan kuno yang membayangi sejarah Thailand dan Kemboja.Selalu muncul dalam hikayat-hikayat Melayu sebagai 'Ligor',kini ia terletak di Nakhon Si Thammarath,sebuah daerah di Thailand.Perkataan 'Nakhon Si Thammarat' itu sendiri adalah sebutan lidah orang Thai kepada 'Nagara Sri Dharmaraja'.Riwayat-riwayat Sinhala dan Pali menggelarkannya Tambralingga,merupakan nama kota dalam Nagara Sri Dharmaraja.Rekod China menyebutkan ia sebagai Ho-ling,Tanmaling,Tan-ma-liu dan Po-ling.Catatan Tamil menyebutnya sebagai Madamalinggam.Asalnya,ia adalah berkonsepkan 'Malay city-states' namun selepas bebas dari pengaruh Sriwijaya (sekitar abad ke-11 Masehi),Tambralingga mula meluaskan kekuasaannya ke seluruh Segenting Kra hingga mencapai Temasek (Singapura),di mana raja Tambralingga telah melantik Temagi sebagai wakil pemerintah.Selepas itu,empayarnya digelar 'Nagara Sri Dharmaraja' dengan istilah 'nagara' yang bermaksud wilayah kekuasaan yang besar dan bukan lagi sekadar sebuah negarakota.

'Sri Dharmaraja' diambil dari gelaran yang dipakai oleh keturunan pemerintah kerajaan ini.Gelaran ini dikesan dipakai oleh salah seorang rajanya yang paling terkenal,Chandrabanu.Beliau telah memakai gelaran ini menjadi Chandrabanu Sri Dharmaraja.

Dalam inskripsi di Chaiya,tercatat nama raja ini:

Penahi Chandrabhaanumtanah Sri Dharmaraja sayah Dharmsoksmaanni 

Di kalangan para pedagang asing,kerajaan ini lebih dikenali sebagai 'Ligor',berasal dari apa yang mereka dengar dari orang-orang Melayu (Legur) yang juga berdagang di sekitar Segenting Kra.Kerajaan ini diperintah oleh raja-raja Melayu Segenting Kra dimana garis keturunan mereka mempunyai kaitan dengan dinasti Sriwijayamala dan Kedah Tua. Rakyatnya berbilang kaum, dengan kaum Melayu sebagai aristokrat dan golongan pedagang, Mon Khmer dan etnik Thai yang baru tiba dari utara.

Kerajaan Melayu Purba ini dikesan pernah sezaman dengan Funan dan Champa, malah pernah berada di bawah Funan. Ini dikuatkan dengan perlantikan salah seorang jeneral perang tempatan, Sri Man yang bergelar 'Sri Mate Sri Man Dharmaraja' sebagai Emperor Funan .'Sri Man Dharmaraja' menurut pakar sejarah Indochina merujuk kepada kerabat istana purba Sri Dharmaraja.

Pada peringkat pertengahan kerajaan Angkor, kerabat dari istana Sri Dharmaraja telah memainkan peranan dalam pemerintahan Empayar Khmer, sehinggakan siapa yang menduduki takhta Sri Dharmaraja ,maka dia juga akan memerintah Angkor. Seperti yang diketahui umum, kerajaan Angkor ditubuhkan oleh Jayavarman II, yang mempunyai hubungan dengan keluarga dinasti Sailendra yang berkuasa di Jawa. Sailendra ialah dinasti Melayu Purba yang membayangi Funan. Namun selepas Funan direbut oleh orang Khmer melalui Chenla (bukan dengan peperangan,tetapi melalui perkahwinan), kebanyakan kerabat diraja Sailendra berpindah ke semenanjung sebelum ke Jawa,dan menubuhkan dinasti Sailendra di Jawa. Legenda Jawa menyebutkan seorang yang bernama Aji Saka yang mula-mula menjadi raja di Jawa dan membawa tamadun kepada penduduk Jawa. Dalam riwayat Khmer, raja Sailendra itu adalah Ajiraja, yang mempunyai darah keturunan Saka, salah satu rumpun Kamboja yang mengahwini kerabat raja Melayu Kuno Indochina pada masa silam.

Apabila Sri Dharmaraja di bawah pengaruh Sriwijaya, maka secara tidak langsung ,istana Angkor juga di bawah kawalan Sriwijaya. Seperti biasa, Sriwijaya tidak menjajah Angkor secara langsung, tetapi acapkali mendesak Angkor memenuhi bekalan pertanian untuk keperluan rangkaian perdagangan maritim Sriwijaya.

Dharmasokaraja

Sebelum Sriwijaya menjadi pusat pengajian agama Buddha antarabangsa (sami-sami dari China, India dan sejauh Tibet datang belajar di sini), Sri Dharmaraja adalah pusat pengembangan agama Buddha pada masa silam. Ketika itu agama orang Thai kebanyakannya percaya kepada 'nat' dan tahyul. Sri Dharmaraja telah membuat hubungan dengan Sri Lanka dalam hal-hal keagamaan Buddha. Ini berbeza dengan satu lagi saudara serumpun mereka di timur laut, Champa yang menganut fahaman Hindu sejak zaman-berzaman.

Mengapa Sri Dharmaraja menjadi pusat pengajian agama Buddha? 
Ini kerana pada masa yang sama, Sri Dharmaraja adalah pusat perdagangan yang penting, warisan dari Empayar Jawaka yang berpecah sebelum itu. Ini tercatat dalam catatan Chao Ju-Kua,

"Negeri ini, terletak di laut dan mengendalikan selat melalui lalu lintas darat dan laut,mengawal laluan dari semua arah ... Jika kapal-kapal dagang lewat tanpa masuk ke dalam kawalan negeri ini, perahu-perahu mereka akan bersedia keluar untuk melakukan serangan gabungan, dan semua bersedia untuk mati. Ini adalah alasan mengapa negeri ini merupakan pusat pelayaran yang besar...."

Ini menunjukkan ketika itu,Sri Dharmaraja adalah penguasa Selat Melaka dan semenanjung. Ini kerana siapa yang menguasai Selat Melaka dan semenanjung, maka dia akan menguasai perdagangan antara negeri-negeri barat termasuk India, dengan China.

Warisan agama Buddha yang diambil oleh raja Sri Dharmaraja adalah sejauh era Asoka (304–232 Sebelum Masehi) dan ini mengesahkan pandangan sejarahwan India seperti Nikalanta Sastri tentang hubungan India dan negeri-negeri Melayu sejauh 300 tahun sebelum Masehi. Sarjana Khmer mendakwa terdapat pengaruh dinasti Maurya di dalam bayang-bayang Sriwijaya dan Sri Dharmaraja. Sebab itu,rajanya juga menggelar kerajaannya sebagai Dharmasoka dan rajanya sebagai Dharmasokaraja.

Ada pendapat yang mengatakan Dharmasokaraja adalah satu kerajaan lain. Dicatatkan dalam legenda Thai 'Mukh Batoh',bahawa dinasti Sailendra telah menubuhkan kerajaan kecil di sekitar Segenting Kra (sebelum berpindah ke Jawa) di bawah perlindungan raja penjaga kepada dinasti Sriwijayamala. 'Raja penjaga' itu diyakini kuat sebagai raja Nagara Sri Dharmaraja.

Tidak banyak diketahui tentang raja-raja Sri Dharmaraja. Kemungkinan hanya keturunan mereka sahaja yang tahu salasilah kerabat raja Sri Dharmaraja. Namun dalam sejarah Indochina, terdapat dua orang raja dari istana Sri Dharmaraja (di luar bayang-bayang Angkor) yang terkenal. Salah satunya ialah Sujita, yang disebut-sebut dalam riwayat-riwayat orang Mon (Mon Chronicle) seperti Chamadevivamsa dan Jinakalamali, yang telah menyerang Lavo, sebuah kerajaan terkenal orang Mon di tengah Thailand. Seorang lagi ialah raja Melayu Sri Dharmaraja yang dikenali di kebanyakannya dalam riwayat-riwayat Thai kuno, iaitu Chandrabhanu Sri Dharmaraja.