Tuesday, 4 October 2011

Sri Dharmaraja Chandrabhanu

Chandrabhanu yang bermaksud Cahaya Bulan. Baginda merupakan raja negeri Tamralingga. Negeri Tamralingga sekarang ini dikenali sebagai Nakhorn Sri Thammarat atau Negara Sri Dharmaraja dan dalam teks-teks hikayat Melayu dikenali sebagai Ligor. Baginda digelar sebagai Sri Dharmaraja yang bermaksud' Raja yang Adil'. Ketika itu, baginda memerintah di bawah pengaruh kekuasaan Maharaja Srivijaya yang berpusat di Palembang. Nama keluarga Chandrabhanu ialah Pathamawong (Padmawangsa).


Sekitar tahun 1247M, baginda menyerang Pulau Langka (Sri Lanka) untuk mendapat sebuah patung Buddha zamrud yang dikenali Phra Sihing. Patung ini dipercayai boleh membawa kemakmuran kepada negeri mereka. 


Buddha Rupa Pra Sihing di Wat Sambhu Jaya, Narathiwat


Pada waktu itu, Pulau Langka diperintah oleh raja Parakramabahu II yang baru saja ditabalkan menjadi raja. Chandrabhanu merupakan penakluk pertama yang datang dari negara yang terletak di tenggara dan baginda datang dari utara semenanjung Tanah Melayu. 

Chandrabhanu dikatakan mendarat di selatan Pulau Langka, manakala setengah riwayat lain pula menceritakan baginda mendarat di barat laut pulau tersebut. Mereka mendapat rampasan perang yang banyak akan tetapi raja Chandrabhanu tidak membenarkan penganut Buddha di Sri Lanka diapa-apakan. Baginda melarang biara-biara Buddha daripada dimusnahkan atau dirosakkan. Sebaliknya baginda memperbaiki biara-biara yang rosak dan melakukan penyembahan di dalamnya. 

Terdapat juga teori yang menyatakan bahawa asal-usul baginda dilahirkan di tempat bernama Vathuwaviyan di Semenanjung Tanah Melayu. Teori ini didapati dari batu-batu bersurat kuno yang dibaca dan diterjemahkan oleh Sede pada tahun 1981. Batu bersurat ini dibaca semula oleh Sede pada tahun 1987. Beliau membuat kesimpulan bahawa baginda berasal dari Tanah Melayu dan menjadi raja di kawasan yang dikenali sebagai Tamralingam. Beliau juga menambah bahawa raja ini mempunyai pertalian dengan pulau Sumatera.

Sejak zaman dahulu kala lagi, Sri Lanka mempunyai hubungan keagamaan dengan negeri di selatan Thai dan utara semenanjung Tanah Melayu. Sami buddha Sri Lanka mengembara merentasi Siam, Kemboja, dan Burma. Terdapat juga bukti sejarah menunjukkan mereka juga mengembara di semenanjung Tanah Melayu, Sumatera, dan Pulau Jawa.

Menurut hikayat-hikayat Siam, Raja Chandrabhanu merupakan kawan baik kepada raja kerajaan Sukhothai iaitu Po Khun Ramkhamhaeng. Mereka turut menghantar duta ke Pulau Langka bagi mendapatkan Buddha rupa Pra Sihing. Dipercayai Buddha rupa tersebut masih disimpan di sebuah Wat di Siam. Juga disebut mengenai Raja Parakramabahu II turut mengantar duta ke negeri Tamralingga (Ligor). Raja Parakramabahu II memohon supaya negeri Tamralingga (Ligor) menghantar seorang sami yang berpengetahuan dari situ.

Menurut sumber-sumber rujukan juga, Raja Chandrabhanu merupakan raja yang mengambil berat akan hal-hal keagamaan dan mengekalkan hubungan keagamaan dengan Sri Lanka. Namun sebab baginda menyerang Pulau Langka tidaklah diketahui sedangkan hubungan baginda dengan Sri Lanka adalah baik terutamanya dalam hubungan keagamaan. 

Raja Chandrabhanu tiba di Sri Lanka untuk membantu kerajaan Magha  (semenanjung Jaffna)  bagi menghadapi serangan Raja Parakramabahu II. Raja Chandrabhanu telah menakluki kawasan yang berada di bawah kekuasaan Raja Parakramabahu II. Keadaan ini menyebabkan tentera Singhala beralih dari utara ke kawasan yang ditakluki oleh Raja Chandrabhanu. Raja Magha juga mendapat peluang untuk memperbaik barisan tenteranya dan berehat sebentar selepas diserang oleh Raja Parakramabahu II. Dari sini, ramai sejarawan berpendapat bahawa Raja Magha dan Raja Chandrabhanu merupakan rakan sebangsa dan mereka saling melindungi antara satu sama yang lain. Pengaruh orang Melayu mula merebak dengan cepat di kawasan pantai Sri Lanka terutamanya di barat laut dan selatan Pulau Sri Lanka. Kekuasaan Raja Parakramabahu II semakin terancam. Maka baginda menguatkan barisan tenteranya dan mengaturkan sebaik-baiknya strategi peperangan. Tentera Singhala juga mempunyai pahlawan yang hebat iaitu Putera Virabahu. Putera Virabahu merupakan anak saudara kepada Raja Parakramabahu II dan baginda mempunyai bakat dalam seni pertahanan diri dan peperangan. Bagindalah yang melatih tentera-tentera Singhala. Pada saat yang baik dan jam yang bertuah menurut perkiraan kitab nujum, mereka melancarkan peperangan semula terhadap orang Melayu.

Mereka mula menyembelih penduduk dalam kota Raja Chandrabhanu serta menyerang tentera Chandrabhanu. Tentera Melayu juga memberikan tentangan yang sengit dan memanah panah beracun yang berbahaya. Hal ini tidak mematahkan semangat tentera Singhala dan mereka terus berjuang sehingga berjaya menghalau orang Melayu keluar dari Pulau Sri Langka. 

Oleh Halaliye Karunathilake
The Sunday Times (Akhbar Inggeris Sri Lanka)
Mei 18, 2008 Bil. 42 - No 51
Diedit dan diterjemah oleh Niluka De Silva

No comments:

Post a Comment