Tuesday, 4 October 2011

Negeri-negeri Melayu di Tengah dan Selatan Sumatera

Sebelum ini, penulis telah dedahkan mengenai kehancuran Kesultanan-kesultanan Melayu di wilayah Sumatera Timur iaitu Langkat, Deli, Serdang Darul Arif dan Asahan. 




Wilayah Melayu di pulau Sumatera terbentang luas daripada Temiang di sebelah utara yang bersempadan dengan Acheh, hinggalah ke Palembang di sebelah selatan yang bersempadan dengan Lampung. Selain daripada negeri-negeri Melayu di Sumatera Timur, terdapat juga enam buah negeri Melayu di kawasan tengah dan selatan pulau Sumatera iaitu bermula dengan Kesultanan Lingga (termasuk kepulauan Riau), Kesultanan Siak Sri Indrapura, Kesultanan Pelalawan, Kesultanan Indragiri, Kesultanan Jambi dan Kesultanan Palembang. Daripada enam Kesultanan Melayu tersebut, sebanyak empat daripadanya mempunyai kaitan rapat dengan Kesultanan Melaka dan pewarisnya iaitu Kesultanan Johor yang berpusat di semenanjung Tanah Melayu.

Paling menarik adalah mengenai asal kewujudan Kesultanan Indragiri. Sejarah umum menyatakan bahawa Kerajaan ini berdiri pada tahun 1298 dan didirikan oleh Putera Mahkota Kerajaan Melaka yang bernama Raja Merlang I. Ketika tempoh awal penubuhannya, Raja-raja Indragiri dikatakan masih berkedudukan di Negeri Melaka. Perhatikan tarikh penubuhan Kerajaan ini yang dikatakan bermula pada tahun 1298, sedangkan persepsi umum menerima bahawa Kesultanan Melaka hanya mula didirikan sekitar tahun 1400-an Masihi.
‘Melaka’ yang dinyatakan disini sebenarnya merujuk kepada Kerajaan Singapura Tua. Isu ini sama seperti kisah Raja Brunei iaitu Awang Alak Betatar @ Sultan Muhammad Syah yang telah memeluk Islam pada tahun 1363 hasil perkahwinannya dengan Puteri Pingai, puteri Sultan Iskandar Syah dari Negeri Johor, sedangkan Kesultanan Johor hanya bermula selepas kejatuhan Kesultanan Melaka pada tahun 1511 Masihi. Maklumat dari Pusat Sejarah Brunei bersepakat menyatakan bahawa Puteri ‘Johor’ yang dinyatakan disini adalah Kerajaan Singapura Tua iaitu waris daripada Sang Nila Utama. Waris Raja Indragiri itu tidak menolak kemungkinan tersebut. Walaubagaimanapun, beliau juga menegaskan tidak mustahil juga Raja Indragiri yang pertama ini merupakan zuriat langsung dari Maharaja Srivijaya yang berpusat di Palembang. 



Lambang Kesultanan Siak dan Kesultanan Pelalawan berbentuk naga beralih (dua naga saling mengadap). Dikatakan lambang Kesultanan Indragiri juga berbentuk begini sebagaimana yang terdapat di istana asal Indragiri yang telah runtuh ke dalam sungai pada tahun 1960-an.

Kesultanan Siak Sri Indrapura dan Kesultanan Pelalawan pula merupakan dua buah Kerajaan Melayu bersaudara. Kesultanan Siak diasaskan oleh Raja Kecil, yang dibesarkan di Pagaruyung (Minangkabau) dan mendakwa dirinya sebagai pewaris yang sah bagi Sultan Mahmud Syah II, Sultan Johor lama yang telah mangkat tanpa meninggalkan sebarang waris. Raja Kecil kemudiannya berjaya menduduki tahkta Johor lama dengan gelaran Sultan Abdul Jalil Rahmat Syah I, tetapi tidak lama kemudian disingkirkan oleh bangsawan Bugis sebelum berundur ke Siak dan mendirikan Kerajaan baru. Kesultanan Pelalawan pula didirikan pada awal abad ke-19 oleh Syarif Abdul Rahman, saudara kepada Sultan Ali, Raja Siak. Baginda telah mengambil alih kedudukan Pelalawan dan menjadi penguasa di kawasan tersebut, dengan mendapat perkenan daripada Sultan Siak dan diakui oleh penjajah Belanda.


Tokoh korporat negara, Tan Sri Syed Yusuf bin Tun Syed Nasir, yang berketurunan Sultan Siak, menerima Anugerah Adat Kesultanan Siak.

Kesultanan Lingga pula wujud selepas perpecahan empayar Johor lama yang pada asalnya merangkumi Negeri Pahang moden, Johor moden, pulau Singapura, serta kepulauan Riau, tetapi telah berpecah kesan daripada perjanjian Anglo-Dutch Treaty 1824. Putera tertua kepada Sultan Mahmud Syah III dari empayar Johor lama, iaitu Tengku Hussein dilantik menjadi Raja Johor dengan berpusat di Singapura yang di bawah pengaruh Inggeris, sementara kekanda tirinya, Tengku Abdul Rahman pula yang sebelum itu mewarisi takhta Johor lama, menjadi Raja Lingga yang menguasai kepulauan Riau yang di bawah pengaruh Belanda. Perjanjian inilah yang telah memecahkan hubungan erat antara negeri-negeri Melayu di semenanjung Tanah Melayu dengan negeri-negeri Melayu di Sumatera dan membentuk sempadan politik Malaysia-Indonesia seperti yang wujud pada hari ini. Kesultanan Lingga telah dihapuskan oleh penjajah Belanda tanggal 3 Februari 1911, dan sebelum itu, penjajah Belanda juga telah menghapuskan Kesultanan Palembang pada tahun 1825 dan Kesultanan Jambi pada tahun 1906.

Menjelang fasa kemerdekaan Republik Indonesia, hanya tiga buah negeri sahaja yang masih diperintah oleh Raja-raja Melayu iaitu Siak, Pelalawan dan Indragiri. Walaubagaimanapun, berbeza dengan pendirian Raja-raja Melayu di Sumatera Timur yang masih berkeras mempertahankan kuasa dan negeri mereka, Raja-raja Siak, Pelalawan dan Indragiri pula bersedia untuk turun daripada takhta dan menyerahkan kekuasaan mereka kepada pihak Republik yang berpusat di Jakarta. Sejarah kemudian telah mencatatkan nasib dan tragedi yang menimpa Raja-raja Melayu serta kerabat mereka di Sumatera Timur.

Pada hari ini, para pewaris dan kerabat Kesultanan Melayu di wilayah tengah dan selatan Sumatera juga tidak ketinggalan untuk membangunkan kembali institusi Raja Melayu untuk melestarikan warisan dan kebudayaan negeri mereka. Terdapat sebilangan dari mereka yang sangat aktif dengan menyertai Festival-festival Keraton yang diadakan di Indonesia.



Tengku Abdul Rahman, waris Kesultanan Lingga



Tengku Mukhtar Anum, Raja Siak



Tengku Kamaruddin Haroen, Raja Pelalawan



Tengku Arief ibni Sultan Mahmud Syah, Raja Indragiri



Tengku Abdul Rahman Thaha Syaifuddin, waris Kesultanan Jambi



Sultan Iskandar Mahmud Badaruddin, Raja Palembang bersama isterinya

No comments:

Post a Comment