Tuesday 4 October 2011

Chandrabhanu

Chandrabhanu Sri Dharmaraja,adalah seorang raja yang memerintah Tambralingga,sebuah negarakota Melayu (Malay city-states) di utara semenanjung Tanah Melayu, tepatnya di kawasan yang dikenali sebagai Segenting Kra,satu jalur daratan yang menghubung semenanjung Malaysia dengan Indochina.

Beliau memerintah pada tahun 1230 hingga 1270 Masehi.

Nama raja ini terkenal di kalangan sejarahwan Thai disebabkan penemuan inskripsi di Wat Hua Wiang di Chaiya. Di dalam batu bersurat no.2, dimuatkan puji-pujian bagi Phra Adhiraja Phra Ong, iaitu gelaran putera mahkota Sriwijaya di mana ia disebutkan sebagai: 

"baginda maharaja mempunyai kesegakan lagi menawan. Bangsawan seperti sinar mentari dan bulan laksananya"

Anehnya gelaran ini untuk putera mahkota, di mana gelaran untuk 'maharaja' adalah Phra Chao Khrung Srivijaya,atau setidak-tidaknya dipahat nama Phra Chao Chandrabhanu Dharmaraja. Ini menunjukkan, pengaruh raja yang lebih tinggi dari Chandrabhanu, dalam kes ini, seorang raja besar dari keturunan yang sama, sudah pasti raja-raja dinasti Sriwijayamala. Pada batu bersurat ke-23 pula, ada dinyatakan bahawa pengganti maharaja itu datang dari raja keturunan 'Sailendra'. Pada batu bersurat ke-24 pula dinyatakan Chandrabhanu adalah dari dinasti Padmavamsa atau Pathamawong (dinasti Teratai).

Dalam batu bersurat itu seterusnya menceritakan kekuasaan Sriwijaya (Sriweechai) yang mengandungi 15 wilayah jajahan dengan beratus-ratus pos kawalan dan ketua-ketua pemerintah tempatan yang membuat hubungan dengan Sriwijaya dan berkerjasama antara satu sama lain. Sriwijaya juga mempunyai jaringan perdagangan yang luas. Apa yang menariknya, di dalam riwayat Sri Dharmaraja ini ada menyebutkan sistem pemerintahan Sriwijaya yang berkonsepkan 'maharaja pelindung' dan jawatan maharaja ini diperintah bersama merangkumi hal-hal politik dan pengurusan jaringan perdagangan maritim. 15 kota-kota yang terdiri dari kuasa-kuasa laut dan pelabuhan-pelabuhan utama dalam kesatuan Empayar Sriwijaya mempunyai peluang untuk menggantikan kuasa kerajaan pusat dan menguasai empayar (ini adalah sama dengan konsep 'Yang Dipertuan Agong' yang diamalkan Malaysia pada hari ini).

Namun setelah beberapa lama, Tambralingga mula membebaskan diri dari Sriwijaya. Raja-rajanya mula membina kubu-kubu dari batu-bata untuk menahan serangan laut Sriwijaya. Setelah aman sedikit dari gangguan Sriwijaya, raja Tambralingga pun meluaskan penguasaan wilayahnya sendiri dan menamakan kerajaannya sebagai 'Sri Dharmaraja'. Raja Sri Dharmaraja mula melebarkan pengaruhnya hingga keseluruhan Tanah Melayu sampai ke Temasek (Singapura).Di sini, raja melantik seorang wakil pemerintah bernama Temagi,untuk mentadbir Temasek. Ketika ini Sriwijaya sudah berpecah, namun kerajaan pusatnya masih berkuasa di Sumatera,khususnya sekitar Palembang dan Jambi.

Nagara Sri Dharmaraja menjadi dominan dan makmur, dan ketika inilah raja membina monumen yang terkenal iaitu Phra Borom Dhatu dan Wat Mahathat yang mengandungi stupa besar gunanya untuk menyimpan 'gigi Buddha',yang kononnya berada di Sri Lanka.

Keinginan raja Chandrabhanu untuk memiliki 'gigi Buddha' itu membuatkan beliau menghantar tentera lautnya menyerang Sri Lanka pada tahun 1247 Masehi.

Riwayat-riwayat Pali menceritakan ketika Kerajaan Jaffna memerintah, seorang raja 'Javaka' telah melakukan serangan ke atas Sri Lanka.Di dalam Mahavamsa,iaitu Riwayat Sri Lanka ada menyebutkan:

"Kemudian menjelangnya tahun ke-11,setelah penobatan Raja Parakramabahu...(pada tahun 1247 Masehi) sesuatu yang tidak terduga terjadi.Seorang raja Javaka menyerang Sri Lanka.Dia adalah penjajah pertama yang datang dari negara belah tenggara. Dia datang dari bahagian utara (semenanjung Tanah Melayu)"

"Pada masa itu, daerah ini dikenali sebagai 'Tambralinggadesa' dan ia dikenali sebagai sebuah negeri beragama Buddha.Raja penjajah ini juga merupakan penganut Buddha, bernama Chandrabhanu.Ia mendarat di pantai selatan Sri Lanka. Ada lagi rujukan untuk pendaratan ,yang mengatakan ia mendarat di pantai utara-barat. Namun,ia dan orang-orangnya bukanlah selepas Magha"

"Mereka juga mulai menjarah milik orang tidak berdosa.Tapi raja Javaka ini cuba untuk memenangi hati para Buddha,entah bagaimana"

"Jadi dia tidak pernah menghancurkan tempat-tempat ibadah Buddha. Sebaliknya,ia diperbaiki mereka dan membayar penghormatan juga"

Ada teori lain tentang asal-usul raja Javaka,Chandrabhanu ini. Mengikut Mahavamsa,tempat kelahirannya adalah 'Vathuwaviyan' di Semenanjung Tanah Melayu. Teori ini muncul melalui inskripsi yang ditemui di sana. Sarjana selatan Thai berpendapat bahawa nama ini berasal dari kata Melayu,'Batu Wangian' dimana tempat suci para kerabat Padmawangsa (kerabat bunga Teratai) dilahirkan.


Kata 'Javaka' berasal dari nama empayar purba Melayu,'Jawaka' yang dikenali sebagai 'Savak' dalam loghat Pali dan 'Zabak/Zabag' oleh para pedagang Arab.

Sampai disini,sudah ada bukti untuk menunjukkan bahawa beliau berasal dari generasi Raja SriVijaya. Namun,dari zaman kuno,Sri Lanka telah pun memelihara hubungan agama dengan negeri-negeri Melayu sekian lama sejak zaman Gupta dan Asoka.

Di masa lalu,sami-sami Buddha Sri Lanka telah melakukan perjalanan ke Siam, Kemboja dan Burma. Ada bukti sejarah untuk menunjukkan bahawa mereka pergi ke pulau Jawa dan Sumatera serta Semenanjung Tanah Melayu.

Armada laut Chandrabhanu telah melancarkan serangan ke bahagian selatan pulau Sri Lanka,tetapi dikalahkan oleh raja Sri Lanka. Namun Chandrabhanu mampu mendirikan kerajaan bebas di bahagian utara pulau itu, sehingga namanya termasuk dalam daftar raja-raja Kerajaan Jaffna yang memerintah Sri Lanka. Tetapi pada tahun 1258 ia diserang dan ditundukkan oleh Pandya. Pada 1262 Chandrabhanu melancarkan serangan di selatan pulau itu, pasukannya kali ini diperkuatkan dengan penambahan pasukan Tamil dan Sinhala, namun sekali lagi dikalahkan kerajaan Pandya (kerajaan ini juga yang menewaskan kerajaan Chola) ketika Pandya bergabung dengan tentera Sri Lanka dan Chandrabhanu sendiri terbunuh dalam pertempuran itu. Walau bagaimanapun,anak Chandrabhanu masih mampu mempertahankan kawalan ke atas kerajaan utara, walaupun tunduk kepada Pandya dan memerintah sehingga akhir abad ke-14.

Serangan Chandrabhanu ke atas Sri Lanka itu membuktikan terdapatnya kekuatan dari Asia Tenggara yang mampu menghantar serangan malah membina kerajaan di luar kawasan Asia Tenggara. Namun penguasaan dinasti-dinasti Melayu di Sri Lanka sebenarnya berlangsung lebih lama,tepatnya ketika era keemasan Sriwijaya. Penemuan candi purba di Kantarodai menyaksikan senibina menyerupai elemen-elemen Borobudur. Anehnya,pakar arkeologi Sri Lanka mendakwa pengaruh ini adalah datang dari luar ke Sri Lanka.Ini kerana gaya senibina candi Kantarodai tidak dijumpai di mana-mana di Sri Lanka malah di tanah besar India.Usia tapak arkeologi si Kantarodai adalah seawal abad ke-2 Sebelum Masehi!Pakar-pakar sejarah Sri Lanka agak bingung memikirkan dari mana senibina stupa bulat ini tiba,akhirnya mereka berpegang kepada Teori Borobudur setakat ini bagi memecahkan kebuntuan. Senibina Borobudur benar-benar senibina unik dinasti Melayu Sailendra. 

No comments:

Post a Comment