Tuesday 4 October 2011

Sri Dharmaraja

Sri Dharmaraja adalah nama sebuah kerajaan kuno yang membayangi sejarah Thailand dan Kemboja.Selalu muncul dalam hikayat-hikayat Melayu sebagai 'Ligor',kini ia terletak di Nakhon Si Thammarath,sebuah daerah di Thailand.Perkataan 'Nakhon Si Thammarat' itu sendiri adalah sebutan lidah orang Thai kepada 'Nagara Sri Dharmaraja'.Riwayat-riwayat Sinhala dan Pali menggelarkannya Tambralingga,merupakan nama kota dalam Nagara Sri Dharmaraja.Rekod China menyebutkan ia sebagai Ho-ling,Tanmaling,Tan-ma-liu dan Po-ling.Catatan Tamil menyebutnya sebagai Madamalinggam.Asalnya,ia adalah berkonsepkan 'Malay city-states' namun selepas bebas dari pengaruh Sriwijaya (sekitar abad ke-11 Masehi),Tambralingga mula meluaskan kekuasaannya ke seluruh Segenting Kra hingga mencapai Temasek (Singapura),di mana raja Tambralingga telah melantik Temagi sebagai wakil pemerintah.Selepas itu,empayarnya digelar 'Nagara Sri Dharmaraja' dengan istilah 'nagara' yang bermaksud wilayah kekuasaan yang besar dan bukan lagi sekadar sebuah negarakota.

'Sri Dharmaraja' diambil dari gelaran yang dipakai oleh keturunan pemerintah kerajaan ini.Gelaran ini dikesan dipakai oleh salah seorang rajanya yang paling terkenal,Chandrabanu.Beliau telah memakai gelaran ini menjadi Chandrabanu Sri Dharmaraja.

Dalam inskripsi di Chaiya,tercatat nama raja ini:

Penahi Chandrabhaanumtanah Sri Dharmaraja sayah Dharmsoksmaanni 

Di kalangan para pedagang asing,kerajaan ini lebih dikenali sebagai 'Ligor',berasal dari apa yang mereka dengar dari orang-orang Melayu (Legur) yang juga berdagang di sekitar Segenting Kra.Kerajaan ini diperintah oleh raja-raja Melayu Segenting Kra dimana garis keturunan mereka mempunyai kaitan dengan dinasti Sriwijayamala dan Kedah Tua. Rakyatnya berbilang kaum, dengan kaum Melayu sebagai aristokrat dan golongan pedagang, Mon Khmer dan etnik Thai yang baru tiba dari utara.

Kerajaan Melayu Purba ini dikesan pernah sezaman dengan Funan dan Champa, malah pernah berada di bawah Funan. Ini dikuatkan dengan perlantikan salah seorang jeneral perang tempatan, Sri Man yang bergelar 'Sri Mate Sri Man Dharmaraja' sebagai Emperor Funan .'Sri Man Dharmaraja' menurut pakar sejarah Indochina merujuk kepada kerabat istana purba Sri Dharmaraja.

Pada peringkat pertengahan kerajaan Angkor, kerabat dari istana Sri Dharmaraja telah memainkan peranan dalam pemerintahan Empayar Khmer, sehinggakan siapa yang menduduki takhta Sri Dharmaraja ,maka dia juga akan memerintah Angkor. Seperti yang diketahui umum, kerajaan Angkor ditubuhkan oleh Jayavarman II, yang mempunyai hubungan dengan keluarga dinasti Sailendra yang berkuasa di Jawa. Sailendra ialah dinasti Melayu Purba yang membayangi Funan. Namun selepas Funan direbut oleh orang Khmer melalui Chenla (bukan dengan peperangan,tetapi melalui perkahwinan), kebanyakan kerabat diraja Sailendra berpindah ke semenanjung sebelum ke Jawa,dan menubuhkan dinasti Sailendra di Jawa. Legenda Jawa menyebutkan seorang yang bernama Aji Saka yang mula-mula menjadi raja di Jawa dan membawa tamadun kepada penduduk Jawa. Dalam riwayat Khmer, raja Sailendra itu adalah Ajiraja, yang mempunyai darah keturunan Saka, salah satu rumpun Kamboja yang mengahwini kerabat raja Melayu Kuno Indochina pada masa silam.

Apabila Sri Dharmaraja di bawah pengaruh Sriwijaya, maka secara tidak langsung ,istana Angkor juga di bawah kawalan Sriwijaya. Seperti biasa, Sriwijaya tidak menjajah Angkor secara langsung, tetapi acapkali mendesak Angkor memenuhi bekalan pertanian untuk keperluan rangkaian perdagangan maritim Sriwijaya.

Dharmasokaraja

Sebelum Sriwijaya menjadi pusat pengajian agama Buddha antarabangsa (sami-sami dari China, India dan sejauh Tibet datang belajar di sini), Sri Dharmaraja adalah pusat pengembangan agama Buddha pada masa silam. Ketika itu agama orang Thai kebanyakannya percaya kepada 'nat' dan tahyul. Sri Dharmaraja telah membuat hubungan dengan Sri Lanka dalam hal-hal keagamaan Buddha. Ini berbeza dengan satu lagi saudara serumpun mereka di timur laut, Champa yang menganut fahaman Hindu sejak zaman-berzaman.

Mengapa Sri Dharmaraja menjadi pusat pengajian agama Buddha? 
Ini kerana pada masa yang sama, Sri Dharmaraja adalah pusat perdagangan yang penting, warisan dari Empayar Jawaka yang berpecah sebelum itu. Ini tercatat dalam catatan Chao Ju-Kua,

"Negeri ini, terletak di laut dan mengendalikan selat melalui lalu lintas darat dan laut,mengawal laluan dari semua arah ... Jika kapal-kapal dagang lewat tanpa masuk ke dalam kawalan negeri ini, perahu-perahu mereka akan bersedia keluar untuk melakukan serangan gabungan, dan semua bersedia untuk mati. Ini adalah alasan mengapa negeri ini merupakan pusat pelayaran yang besar...."

Ini menunjukkan ketika itu,Sri Dharmaraja adalah penguasa Selat Melaka dan semenanjung. Ini kerana siapa yang menguasai Selat Melaka dan semenanjung, maka dia akan menguasai perdagangan antara negeri-negeri barat termasuk India, dengan China.

Warisan agama Buddha yang diambil oleh raja Sri Dharmaraja adalah sejauh era Asoka (304–232 Sebelum Masehi) dan ini mengesahkan pandangan sejarahwan India seperti Nikalanta Sastri tentang hubungan India dan negeri-negeri Melayu sejauh 300 tahun sebelum Masehi. Sarjana Khmer mendakwa terdapat pengaruh dinasti Maurya di dalam bayang-bayang Sriwijaya dan Sri Dharmaraja. Sebab itu,rajanya juga menggelar kerajaannya sebagai Dharmasoka dan rajanya sebagai Dharmasokaraja.

Ada pendapat yang mengatakan Dharmasokaraja adalah satu kerajaan lain. Dicatatkan dalam legenda Thai 'Mukh Batoh',bahawa dinasti Sailendra telah menubuhkan kerajaan kecil di sekitar Segenting Kra (sebelum berpindah ke Jawa) di bawah perlindungan raja penjaga kepada dinasti Sriwijayamala. 'Raja penjaga' itu diyakini kuat sebagai raja Nagara Sri Dharmaraja.

Tidak banyak diketahui tentang raja-raja Sri Dharmaraja. Kemungkinan hanya keturunan mereka sahaja yang tahu salasilah kerabat raja Sri Dharmaraja. Namun dalam sejarah Indochina, terdapat dua orang raja dari istana Sri Dharmaraja (di luar bayang-bayang Angkor) yang terkenal. Salah satunya ialah Sujita, yang disebut-sebut dalam riwayat-riwayat orang Mon (Mon Chronicle) seperti Chamadevivamsa dan Jinakalamali, yang telah menyerang Lavo, sebuah kerajaan terkenal orang Mon di tengah Thailand. Seorang lagi ialah raja Melayu Sri Dharmaraja yang dikenali di kebanyakannya dalam riwayat-riwayat Thai kuno, iaitu Chandrabhanu Sri Dharmaraja.

No comments:

Post a Comment